mutakhir

Sewa stor simpan mercun [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SERBUAN di sebuah stor di Taman Ehsan, Bukit Kayu Hitam, semalam membongkar kegiatan seorang lelaki menyeludup bunga api dan mercun dari negara jiran.

Stor yang sudah beroperasi lebih setahun lalu terletak di sebuah rumah di taman berkenaan.

Serbuan dilakukan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam jam 12.30 tengah hari semalam merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM25,000.

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, pihaknya menyerbu stor itu berdasarkan aduan awam yang diterima sebelum ini.

“Kita percaya mercun dan bunga api itu dibawa masuk sedikit demi sedikit menggunakan kereta dari negara jiran sebelum disimpan di stor itu.

“Siasatan juga mendapati suspek yang bekerja sendiri itu dipercayai melakukan kegiatan itu seorang diri untuk mengaut keuntungan ketika musim perayaan,” katanya pada sidang media di Kompleks AKSEM hari ini.

Mohd Khairi berkata, hasil siasatan juga mendapati, pelanggan akan membeli mercun dan bunga api di stor berkenaan secara sembunyi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu menetap di tempat lain namun banyak menghabiskan masa di stor itu untuk perniagaannya.

“Nilai mercun dan bunga api yang dirampas adalah sebanyak RM25,000 namun mampu dijual tiga kali ganda dari jumlah rampasan itu.

“Anggaran cukai yang dikenakan mencecah RM31,000 dan jumlah keseluruhan barangan yang dirampas termasuk cukai adalah sebanyak RM56,000,” katanya.

Mohd Khairi berkata, kesemua barangan rampasan akan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 1:25pm
d