mutakhir

'Itu di Ecuador, bukan Sarawak' [METROTV]

Oleh Norsyazwani Nasri

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan belum menerima laporan mengenai video tular seorang lelaki mati ditembak di kedai makan yang dimuat turun di media sosial.

Video dimuat naik pengguna media sosial, Lim Eddy, mendakwa kejadian itu berlaku di Batu Kawa, Kuching, namun rakaman yang tular berkenaan dilaporkan berlaku di Ecuador.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, setakat ini tidak ada siasatan dijalankan berhubung kes itu.

“Tiada laporan diterima mengenai kes ini, jadi tiada siasatan dijalankan.

“Kita berharap orang ramai tidak mudah panik menerima berita yang tidak ada kesahihan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Aidil menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati menyebarkan berita yang belum sahih di media sosial.

“Buatlah semakan pengesahan kepada polis bagi memastikan kesahihannya.

“Penularan maklumat salah akan mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 1:26pm
d