mutakhir

Kelab bola sepak bantu 1,100 murid

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

KELAB bola sepak N Nine FC memberi sumbangan persekolahan kepada 1,100 murid sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Jeram Padang.

Pengerusi kelab berkenaan, Datuk Seri S Surash berkata, pihaknya menyediakan peruntukan RM42,000 membabitkan pakaian seragam dan alat tulis.

Beliau berkata, sumbangan itu diberikan kepada murid sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan.

“Biarpun kelab bola sepak kami berpangkalan di Bahau, kami tetap mahu membantu murid terutama sekitar DUN Jeram Padang.

“Penyerahan sumbangan diberi secara berperingkat bermula hari pertama persekolahan dan berakhir semalam,” katanya.

Surash berkata, pihaknya komited untuk terus membantu masyarakat memerlukan bantuan dan akan terus bergiat aktif dalam program khidmat masyarakat.

Bekas calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi DUN Jeram Padang itu berkata, sumbangan persekolahan itu diharap dapat memberi manfaat kepada murid terbabit, sekali gus membangkitkan semangat untuk belajar.

Kelab N Nine FC pernah menyertai pelbagai pertandingan bola sepak sama ada peringkat daerah dan negeri dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain bola sepak tempatan.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 3:48pm
d