mutakhir

Saya OK asalkan SPR lebih bagus [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menyokong syor Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) supaya peranan suruhanjaya berkenaan dikecilkan serta distruktur semula kepada tiga entiti bebas yang menjalankan fungsi berasingan sekiranya ia boleh memperbaiki proses pilihan raya.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, beliau kurang pasti dengan butiran dicadangkan oleh ERC namun sekiranya cadangan itu akan memberi kesan yang bagus kepada SPR, beliau sepenuh hati akan menyokong cadangan berkenaan.

"Sekiranya terdapat cadangan untuk menubuhkan agensi berlainan untuk pilihan raya, sebagai contohnya ada agensi yang (dilantik) menjaga persempadanan semula dan sebagainya, jika dengan penubuhan itu dapat memperbaiki proses persempadanan semula, saya OK jika jadikannya lebih baik," katanya tadi.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan delegasi daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya (JKPK Pilihan Raya) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (JKPK JUPA).

Sebelum ini, media melaporkan ERC mengesyorkan supaya SPR distruktur semula kepada tiga entiti bebas yang menjalankan fungsi berasingan berkaitan pilihan raya.

Menurut Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, tiga entiti itu adalah SPR sebagai badan yang menguatkuasakan undang-undang pilihan raya, Elections Malaysia yang menjalankan urusan pilihan raya dan Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) yang melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Ab Rashid dilaporkan berkata, penstrukturan itu akan membabitkan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan pembentukan SPR, dan mampu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.

Sementara itu, mengenai tumpuan utama SPR bagi tahun ini, Azhar berkata ,pihaknya mahu menumpukan sektor pendidikan simulasi di sekolah dan satu modul sudah siap untuk digunakan oleh pihak sekolah.

"Kita sudah mulakan pembelajaran simulasi untuk tingkatan 4 sejak tahun lalu lagi, kami menerima maklum balas yang bagus dari pihak sekolah dan mereka meminta kami meneruskan sesi pembelajaran berkenaan.

"Modul sudah disiapkan dan kita akan menjadikan modul itu boleh digunakan oleh orang awam. Setakat ini pembelajaran bagi modul berkenaan adalah untuk murid tingkatan 4 kerana kita tidak mahu mengganggu sesi pembelajaran murid tingkatan 5," katanya.

Berkaitan pelaksanaan pengundian secara atas talian atau e-voting, Azhar berkata, pihaknya masih bertemu dengan beberapa pakar sebelum membuat keputusan sama ada ia boleh dijalankan di negara ini atau sebaliknya.

"Jika mengenai pelaksanaan e-voting, saya paling bimbang mengenai keselamatan serta bagaimana mahu puaskan hati pengundi apa yang mereka undi itu benar-benar masuk dalam sistem atau sebaliknya.

"Pengundi mahukan bukti, jika mereka undi A, betul ke jika masuk dalam sistem undi itu akan diberikan kepada A atau tidak. Selain itu, kita juga kena fikir mengenai masalah penggodam, memang ada cadangan kepada kita untuk gunakan teknologi rantaian blok (blockchain technology), tetapi ada yang menyokong ada juga yang membantah. Jadi sebelum laksanakan, kita akan lihat dahulu semua perkara ini," katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 3:56pm
d