mutakhir

Elak amalan politik wang [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

SEMUA calon Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 2019-2022 tidak dibenarkan menaja pakej umrah, percutian atau bermain golf bagi mengelak berlaku politik wang.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan BERSATU, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, segala bentuk penajaan tidak dibenarkan bagi mengelak amalan politik wang dalam pemilihan.

“Masa pemilihan tak boleh bayar umrah, tak boleh ‘holiday’ atau bawa rombongan melancong ke tempat dekat pun seperti Bangkok, Manila, Medan atau mana-mana destinasi popular.

“Main golf pun tak boleh. Main golf ini, memang datang dengan sengaja dan ada pemberian hadiah. Tak boleh ada pemberian hadiah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Bersatu, di Petaling Jaya, hari ini.

Menurutnya, ia penting bagi mengelak imej parti tercalar kerana mahu mengamalkan pemilihan yang bersih.

“Kita mahu mengadakan pemilihan yang bersih dan adil sesuai dengan amalan demokratik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, BERSATU membenarkan calon bertanding berkempen sambil minum di kedai mamak.

“Individu nak berkempen dan bawa ke kedai mamak (sambil minum) teh tarik saya fikir boleh, sejajar dengan demokrasi tapi jangan amalkan kemewahan dan politik wang,” katanya.

BERSATU akan mengadakan perhimpunan agung selama empat hari bermula 25 Jun ini dan menjalankan pemilihan buat pertama kali sebelum perhimpunan itu.

Pencalonan bagi pemilihan parti akan bermula 26 Januari ini disusuli mesyuarat peringkat cawangan pada 29 Mac, manakala mesyuarat di peringkat bahagian pada 18 April depan.

Jumlah bahagian yang layak bersidang sebanyak 189, manakala jumlah ahli yang layak mengambil bahagian dalam persidangan adalah 363,167 orang.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 3:59pm
d