mutakhir

Penduduk rayu Jeti dibuka semula

Oleh Balqis Jazimah Zahari

PENDUDUK di Pulau Pangkor merayu Jeti Sungai Pinang Kecil dikekalkan supaya tidak membebankan mereka terutamanya warga emas.

Jeti berkenaan ditutup sejak awal tahun lalu selepas pulau berkenaan diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) dan Jeti Pulau Pangkor menjadi satu-satunya jeti utama dari Lumut ke pulau itu.

Wakil penduduk, Foo Yong Hooi, 38, berkata, pihaknya tidak membantah pembaharuan yang dilakukan kerajaan negeri untuk meningkatkan ekonomi dan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana menjadikan Pulau Pangkor sebagai kawasan bebas cukai tetapi kita kini berdepan satu masalah kerana Jeti Sungai Pinang Kecil yang sering digunakan penduduk ditutup.

“Sebelum ini, penduduk menjadikan jeti itu sebagai laluan penghubung utama ke beberapa kawasan termasuk turun dan naik barang perniagaan. Tetapi apabila jeti ditutup ia membebankan penduduk untuk berulang-alik ke jeti baru yang lebih jauh selain keadaan lebih sesak,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.

Yong Hooi berkata, Jeti Pulau Pangkor yang digunakan kini menjadi terlalu sesak dengan penduduk yang berulang alik ditambah pula kehadiran pelancong yang mengunjungi pulau berkenaan.

“Pulau Pangkor tidak boleh dibandingkan dengan Pulau Langkawi kerana kebanyakan mereka yang tinggal di pulau berkenaan ketika ini harus pergi berjumpa doktor setiap bulan di Manjung. Bukan tidak boleh (berubah), hanya penduduk memerlukan masa,” katanya.

Katanya, pihaknya mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan bagi membuka semula jeti berkenaan sekali gus dapat memudahkan urusan penduduk setempat.

“Kalau dapat buka semula lebih baik, tetapi sekiranya tidak dapat dibuka semula kita harapkan kerajaan memberi tempoh beberapa bulan supaya penduduk dapat menyesuaikan diri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing, berkata, pihaknya sedia maklum dengan masalah yang dialami penduduk.

“Penutupan itu selaras dengan kawalan keluar masuk barang dan pengunjung di Pulau Pangkor disamping mengikut prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak kastam.

“Namun begitu, kerajaan negeri sememangnya dalam perancangan dalam jangkamasa terdekat untuk menaik taraf Jeti Pulau Pangkor dan mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat untuk mengkaji semula laluan masuk khususnya bagi penduduk tempatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 4:10pm
d