mutakhir

Monyet liar 'serang' kawasan perumahan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

KEJADIAN monyet liar memasuki kawasan perumahan bukan perkara baru, tetapi jika tidak dikawal ia akan menimbulkan masalah.

Penduduk di Fasa 2, Bandar Springhill, Port Dickson, Baharudin Abd Rahman, 62, berkata, kawasan perumahannya kerap kali diserang sekawan monyet liar yang menyusahkan penduduk.

“Selepas pencen, saya mengusahakan tanah terbiar dengan pelbagai tanaman seperti pisang, cempedak, nangka, rambutan dan pokok durian, tetapi ia dimusnahkan monyet liar itu.

“Pokok pisang sudah besar bukan sekadar buahnya habis dimakan, tetapi monyet ini turut mencabut hingga ke akarnya sekali. Malah pokok petai dan durian yang baru nak membesar habis dipatah-patahkan," kata bekas kakitangan di Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Port Dickson itu.

Menurutnya, dia turut menanam beberapa batang pokok rambutan dan nangka yang sudah mengeluarkan buah, tetapi tidak dapat merasa hasilnya.

Katanya, dia kecewa dengan kejadian itu dan difahamkan monyet terbabit datang dari kawasan ladang kelapa sawit yang sudah ditebang, mungkin ia mahu mencari makanan.

“Selain memusnahkan tanaman, monyet liar itu turut merosakkan atap rumah saya dan beberapa jiran.

“Biasanya monyet liar datang menyerang dua atau tiga hari sekali bermula dari 9 pagi hingga ke lewat petang," katanya yang juga Bilal 1 Masjid Bandar Springhill.

Baharudin berharap penduduk setempat berhenti memberi barangan makanan kepada monyet liar terbabit kerana ia dipercayai punca haiwan berkenaan datang semula ke situ.

“Kalau boleh henti memberi makanan kerana jika tiada makanan, habis tanaman dan rumah penduduk jadi mangsa.

“Saya bimbang kerana ada monyet liar itu garang dan membahayakan kanak-kanak. Saya harap perkara ini dapat diatasi dengan kerjasama penduduk sekitar,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 4:31pm
d