mutakhir

Waris Eeng dan Aryaan dicari

Oleh Zuhainy Zulkiffli

WARIS dua kanak-kanak warga Indonesia yang ditinggalkan kepada penjaga masing-masing tujuh dan empat tahun lalu sedang dikesan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Daerah Timur Laut.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Kanan Daerah SPS, Mohamad Rezal Abdul Majid berkata, pihaknya mengesan ibu kandung kanak-kanak lelaki diberi nama Aryaan Reezqin yang ditinggal kepada pengasuh pada Oktober 2015 ketika berusia tiga bulan.

Kanak-kanak yang kini berusia empat tahun ditinggalkan oleh lelaki yang mengaku sebagai bapa kandungnya di alamat Taman Puteri Gunung, Simpang Ampat, dekat sini.

“Bapa kandung yang didakwa bernama Adam meninggalkan kanak-kanak terbabit kepada pengasuh tanpa dokumen pengenalan diri.

“Pelbagai usaha sudah dibuat pengasuh bagi mencari keluarga kandung kanak-kanak terbabit namun sehingga kini masih tidak dapat dikesan,” katanya.

Mohamad Rezal berkata, pada 28 Disember 2018, pengasuh menyerahkan kanak-kanak berkenaan kepada suami isteri dikenali sebagai Rohayati Usop dan Azizan Teh untuk dijadikan anak angkat kerana sudah tidak mampu menjaganya.

“Namun bagi menguruskan permohonan daftar lewat kelahirannya, keluarga kandung perlu tampil berhubung dengan JKM Daerah SPS untuk tindakan lanjut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak JKM Daerah Seberang Perai Selatan di talian 04-5822169.

Sementara JKM Daerah Timur Laut sedang mengesan ibu kandung kanak-kanak dikenali sebagai Eeng, pasport bernombor AK968902 yang diserahkan kepada penjaga tanpa dokumen sah.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Noor Azura Ahmad berkata, kanak-kanak itu dilahirkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 29 Julai 2011.

“Difahamkan ibu kandungnya menghilangkan diri selepas menyerahkan kanak-kanak itu kepada penjaga.

“Berdasarkan maklumat, ibu kandung kanak-kanak itu dari Indonesia dan beragama Islam, namun tiada alamat terakhir,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris atau kanak-kanak diminta menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Halimaton Hashim di Pejabat JKM Timur Laut di talian 04-2264531 atau 04-2277412.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 6:16pm
d