mutakhir

Disaman pandu bas pakai selipar

Oleh Amir Mamat

DUA pemandu bas ekspres yang hanya memakai selipar ketika memandu, terkejut apabila disapa anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka berpakaian preman, semalam.

Ini kerana, pemandu berkenaan dikatakan tidak menyangka kenderaan dipandunya dinaiki anggota penguat kuasa berkenaan yang berpakaian biasa.

Sebaik tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, anggota JPJ berkenaan menghulurkan saman kepada pemandu terbabit kerana kesalahan memakai selipar ketika memandu.

Itu antara kejayaan JPJ Melaka menerusi teknik penyamaran yang dilakukan sepanjang Ops TBC bermula Ahad lalu dan bakal berakhir 9 Februari ini.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, berkata menerusi teknik bermula hujung minggu lalu itu, pihaknya dapat mengesan dua lagi kesalahan pemandu bas ekspres iaitu menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan.

Beliau berkata, semua pemandu terbabit diserahkan saman sebaik tiba ke destinasi iaitu masing-masing di TBS dan Terminal Bas Melaka Sentral.

“Anggota kami secara bergilir akan meneruskan teknik ini yang dilihat sangat berkesan dalam mengesan kesalahan pemanduan pemandu bas ekspres, terutama pada musim perayaan,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Jalan Ayer Keroh Lama, Ayer Keroh, hari ini.

Operasi itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

JPJ Melaka sebelum ini menempatkan 56 anggotanya menyamar dengan berpakaian preman bagi mengesan pemandu bas ekspres yang melakukan kesalahan jalan raya menerusi Ops TBC sepanjang Tahun Baru Cina.

Daripada jumlah itu, empat anggota akan ditugaskan setiap hari di laluan ke Utara, Selatan, Timur dan Barat bermula semalam sehingga 2 Februari ini.

Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, sejak Ops TBC dilancarkan sehingga semalam, pihaknya menyita satu lori dagangan kerana tiada lesen memandu dan lesen Kenderaan Perdagangan (GDL).

Beliau berkata, selain itu sebanyak 350 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya membabitkan beberapa kesalahan, antaranya tiada lesen memandu serta cermin gelap.

“Operasi turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut melakukan ujian air kencing dan mengesan dua penunggang motosikal serta tiga pemandu kereta positif dadah jenis syabu,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 6:46pm
d