mutakhir

Gunung Pulai destinasi pelancongan baharu

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN negeri merancang menjadikan Gunung Pulai, di Baling, sebagai satu lagi destinasi pelancongan susulan penemuan lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik oleh Jabatan Warisan Negara (JWN).

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, cadangan itu akan diperhalusi selepas kerajaan negeri menerima laporan penuh daripada JWN.

“Kita masih menunggu laporan JWN mengenai penemuan artifak berkenaan, selepas itu kita akan tengok bagaimana kita nak uruskan tempat itu (Gunung Pulai).

“Sebelum ini kita sudah hentikan kerja kuari di situ dan kita cadangkan Gunung Pulai dijadikan destinasi pelancongan. Jadi ini satu peluang untuk kita apabila ada penemuan seperti ini,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew.

Hari ini, media melaporkan JWN menemui lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik dianggarkan berusia 17,000 tahun di beberapa gua di Gunung Pulai, Baling.

Artifak dalam bentuk peralatan batu, pecahan tembikar dan kulit siput sungai ditemui di tapak baharu ekskavasi antaranya di Gua Kelambu, Gua Tembus dan Gua Akar di gunung berkenaan.

Pesuruhjaya Warisan yang juga Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop berkata, artifak itu ditemui ketika jabatannya sedang menjalankan eksplorasi di kawasan berkenaan antara April hingga Oktober tahun lalu.

Terdahulu, Mukhriz menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dan kerjasama pelaburan di kawasan perindustrian Bukit Selambau.

Perjanjian itu ditandatangani antara syarikat Zhejiang Element Holding Co Ltd bersama Invest Kedah Bhd dan Genting Ehsan (SP) Sdn Bhd.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 6:55pm
d