mutakhir

Beri idea tangani isu PATI Sabah

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

PIHAK yang menentang cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) perlu tampil memberikan idea membina dalam menangani kewujudan lebih 1.2 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Pengerusi Amanah Sabah, Haris Alimudin berkata, tujuan utama kerajaan negeri mencadangkan pengenalan PSSbagi mewujudkan satu dokumen tunggal yang diiktiraf sebagai pengenalan rasmi pati tanpa mempunyai sebarang kesan kewarganeraan.

Menurutnya, dokumen itu juga diyakini mampu mengatasi masalah pemalsuan dokumen yang sejak sekian lama berlaku di Sabah.

“Pada waktu sama langkah ini juga akan ‘memaksa’ pendatang asing mendaftarkan diri dan memberikan peluang kepada pihak berkuasa mengetahui jumlah sebenar serta keberadaan warga asing di negeri Sabah.

“Malangnya perkara ini sudah dipolitikkan sehingga fakta sebenar dan niat baik kerajaan diselewengkan.

“Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Sabah pada 2018, direkodkan 1.2 juta pendatang asing di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haris berkata, daripada jumlah itu 450,000 orang adalah PATI, 250,000 orang diletakkan di bawah pengurusan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) iaitu mereka yang terdiri daripada penduduk sementara, anak pelarian yang tidak mempunyai kad IMM13, orang yang mempunyai dokumen tetapi bukan terbitan imigresen, anak hasil perkahwinan orang tempatan dengan pendatang asing tanpa izin dan orang Palauh yang hidup secara nomad.

“Kesan pembatalan cadangan PSS ini akan menyebabkan masalah yang melibatkan pendatang asing sejak puluhan tahun lalu masih tidak dapat diselesaikan khususnya melibatkan PATI yang tidak diiktiraf kerakyatan oleh sebarang negara.

“Pembatalan PSS dijangka akan diikuti dengan operasi besar-besaran menghantar balik semua pendatang asing yang memiliki dokumen tidak diiktiraf dan juga yang langsung tidak memiliki dokumen.

“Pengalaman sebelum ini menunjukkan proses ini akan mengambil waktu yang lama dan kos yang besar kepada kerajaan,” katanya.

Haris berkata, tidak dapat dinafikan bahawa negeri Sabah masih banyak bergantung kepada tenaga kerja asing termasuk PATI dan kesan besar kepada ekonomi negeri pasti berlaku.

“Walaupun tindakan menghantar balik pati merupakan suatu tindakan yang berterusan, sehingga hari ini masalah pendatang tanpa izin belum dapat diselesaikan.

“Tindakan menghantar balik pati ke negara asal adalah tindakan yang memerlukan kerjasama negara asal.

“Sekiranya negara asal enggan menerima atau tidak mengakui PATI itu sebagai rakyat negara mereka, kerajaan Malaysia tidak mempunyai pilihan untuk memaksa mereka menerima pendatang asing ini. Persoalannya bagaimanakah status PATI berkenaan,” katanya.

Menurut Haris, kerajaan Sabah dan persekutuan diharap dapat merangka satu polisi baharu yang holistik dan menyeluruh selepas pembatalan cadangan PSS ini.

Tambahnya, pihak pembangkang yang menentang cadangan ini juga perlu tampil memberikan idea membina dan tidak hanya memainkan isu ini sebagai sentimen politik.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 10:41am
d