mutakhir

Perlis henti salur air ke sawah

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PERLIS menghentikan seketika penyaluran bekalan air dari Empangan Timah Tasoh ke sawah di dalam negeri ini berikutan kemarau dijangka sehingga Mac ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, langkah itu dibuat bagi mengelakkan bekalan air di empangan berkurangan sehingga boleh menjejaskan kegunaan harian penduduk di Perlis.

“Sehingga hari ini paras air di dalam empangan masih belum kritikal dan kita masih boleh bertahan walaupun air semakin berkurangan dan hujan di kawasan tertentu beberapa hari lalu.

“Jadi buat masa ini bendang yang kering itu, memang kita tidak boleh lakukan apa lagi dan pesawah juga faham dengan situasi yang melanda kini (berhubung penghentian penyaluran air ke sawah).

“Namun jika cuaca panas yang melampau berterusan, berkemungkinan kita akan mengambil langkah mencatu air kegunaan harian kepada penduduk tetapi setakat ini kita masih boleh bertahan,” katanya ketika ditemui pada Pameran Terbuka Seni Visual 2020 di Kangar, semalam.

Azlan bagaimanapun berkata, bekalan air bersih dari Perlis ke Pulau Langkawi, Kedah masih diteruskan seperti biasa dan pihaknya tidak bercadang untuk mengambil langkah mencatu buat masa ini.

“Sumber utama bekalan air harian ke Pulau Langkawi adalah dari Sungai Arau dan Tambun Tulang, setakat ini ia disalurkan seperti biasa dan saya jamin ia tidak akan terjejas,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung masalah kecetekan air di Kuala Perlis sehingga menjejaskan perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi, Azlan berkata, pembinaan terminal feri atau jeti yang baharu adalah langkah penyelesaian terbaik.

“Kerja pendalaman laut setiap tahun sudah dilakukan di Kuala Perlis dan kosnya menelan lebih RM20 juta setahun dan ditanggung oleh Pusat, namun masalah terbabit masih belum selesai sepenuhnya.

“Jika sudah 10 tahun ia menelan lebih RM250 juta, jadi lebih baik kos terbabit digunakan untuk membina jeti di kawasan yang bersesuaian dan kerajaan negeri sudah menyuarakan perkara ini kepada Pusat,” katanya.

Beliau berkata, perkara terbabit masih diperingkat cadangan oleh kerajaan negeri dan hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat kelulusan peruntukan daripada Pusat atau inisiatif pihak swasta.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 11:54am
d