mutakhir

Bersama meriahkan Tahun Baharu Cina

Oleh Mohd Rafi Mamat

SERAMAI 653 pelajar pelbagai kaum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu, Kuantan menerima sumbangan angpau dan limau sempena Tahun Baharu Cina daripada pihak sekolah, semalam.

Pengetuanya Kamaludin Abdul Latif berkata, angpau dan limau bukan sahaja untuk pelajar Cina tetapi turut diberikan kepada rakan Melayu dan India mereka.

Menurutnya, pihak sekolah menyediakan dana khas hasil sumbangan pelajar, guru dan penaja bagi menjayakan program sumbangan angpau dan limau sempena Tahun Baharu Cina, Sabtu ini.

Katanya, program terbabit diadakan untuk memeriahkan lagi sambutan perayaan terbabit.

"Program pemberian angpau dan limau yang julung kali diadakan akan diteruskan pada masa akan datang malah ia turut membabitkan perayaan Aidilfitri dan Deepavali.

"Usaha memupuk semangat persaudaraan dan kerjasama antara kaum bermula di peringkat sekolah lagi, masa depan negara ditentukan oleh golongan remaja hari ini," katanya yang tahun pertama sebagai pengetua di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, bukan nilai angpau dan limau diberikan kepada setiap pelajar tetapi yang utama ialah usaha pihak sekolah untuk memeriahkan lagi perayaan Tahun Baharu Cina secara bersama pelbagai kaum.

Kamaludin berkata, 70 kotak limau disumbangkan oleh dua penaja utama.

"Usaha yang dilakukan SMK Semambu ini diharap menjadi contoh kepada sekolah lain untuk mengadakan program sama setiap kali menjelang perayaan semua kaum di negara ini," katanya yang akan mengadakan lebih banyak program bagi mengeratkan hubungan antara pelajar pelbagai kaum.

Sementara itu, pelajar Tan Yi Nann, 13, berkata, Tahun Baharu Cina kali ini dianggap menarik berbanding sebelum ini apabila menerima angpau dan limau lebih awal dalam majlis dianjurkan pihak sekolah.

"Walaupun saya tidak makan limau tetapi perasaan gembira begitu terasa apabila menerima hadiah istimewa itu secara beramai-ramai bersama rakan Melayu dan India dalam satu majlis.

"Nilai angpau tidak penting, lebih utama ialah tanda ingatan guru kepada kami sebagai pelajar yang perlu sentiasa menghormati insan istimewa bergelar guru yang banyak berkorban untuk mendidik," katanya yang tidak sabar untuk menyambut Tahun Baharu Cina, Sabtu ini.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 1:17pm
d