mutakhir

Geng Kabel Raja tumpas [METROTV]

Oleh Nor Farhani Che Ad

POLIS menumpaskan ‘Geng Kabel Raja’ yang aktif dalam jenayah pecah rumah di sekitar daerah Kuala Muda, dekat Sungai Petani, menerusi Op Pintu minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ia susulan tertangkapnya seorang lelaki yang juga suspek utama bersama kekasihnya selepas terbabit dalam kes pecah rumah di Taman Cempaka di Sungai Petani, pada 30 Disember lalu.

Katanya, dalam kejadian itu, lelaki berusia 32 tahun dan kekasihnya yang berusia 30 tahun memecah masuk ke sebuah rumah yang ditinggalkan selama dua hari sehingga menyebabkan kerugian yang didakwa keseluruhan berjumlah RM120,000.

“Hasil risikan dan maklumat yang diterima, pasangan kekasih itu ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Pengkalan Kapal Alor Setar pada 13 Januari lalu.

“Susulan tangkapan itu, beberapa siri tangkapan dilakukan sehingga 20 Januari lalu dan berhasil menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun serta dua wanita berusia 30 tahun, seorang daripadanya isteri suspek utama,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, hari ini.

Adzli berkata, kumpulan itu dipercayai aktif sejak enam bulan yang lalu dan suspek utama bersama kekasihnya akan menyasarkan rumah tidak berpenghuni.

“Tiga lagi ahli kumpulan akan bertindak melupuskan barang kes seperti menjual barang kemas di kedai pajak gadai bagi mengelakkan daripada dikesan polis.

“Hasil siasatan yang dijalankan, pihaknya berjaya membuat rampasan ke atas barang kes yang dianggarkan bernilai lebih RM40,000 termasuk menemukan semula barang kemas di beberapa kedai pajak gadai sekitar Sungai Petani, Butterworth, Kuala Ketil, Alor Setar dan Kubang Pasu,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, suspek utama mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes ceroboh, pecah rumah dan dadah, manakala seorang ahli kumpulan lagi mempunyai rekod berkaitan dadah.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dua suspek terbabit juga positif dadah.

“Kesemua suspek kini direman sehingga 26 Januari depan dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Dua lagi suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 1:46pm
d