mutakhir

ATM pandang serius insiden penculikan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) memandang serius insiden penculikan lima warganegara Indonesia di Perairan Tambisan, Sabah yang dilaporkan pada 16 Januari lalu.

ATM dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka itu dipercayai dibawa ke Selatan Filipina oleh kumpulan penculik yang dikaitkan dengan Kumpulan Abu Sayyaf.

“Sehubungan itu, ATM sentiasa melaksanakan kesepakatan rondaan secara bersama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Adalah ditegaskan bahawa kesemua usaha kesepakatan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim secara bersepadu di perairan Laut Sulu yang bermula sejak 2016 telah dan sedang dilaksana oleh ATM,” katanya.

Menurutnya, Pusat Kawalan Maritim juga ditubuhkan bertujuan perkongsian maklumat, risikan dan koordinasi aktiviti- Trilateral Maritime

Patrol (TMP) dan Trilateral Air Patrol (TAP) yang membabitkan ATM, Tentera Nasional Indonesia dan Angkatan Tentera Filipina.

“Bagi memperkukuhkan lagi keselamatan kawasan maritim di Pantai Timur Sabah khususnya, ATM juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan lain dari Malaysia iaitu pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Ini adalah manifestasi komitmen padu Malaysia dan ATM bagi memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim melangkaui kesepakatan kerjasama yang dipersetujui,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 1:55pm
d