mutakhir

Tiga anggota polis didakwa rasuah

Oleh Rafidah Mat Ruzki

DUA pegawai dan seorang anggota polis mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan rasuah berjumlah RM22,500 antara Mei hingga Jun tahun lalu.

Asisten Superintendan N Ramesh, 52, berdepan dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16a (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, kerana menerima suapan berjumlah RM10,500 untuk melepaskan tiga pekerja warga asing yang diupah seorang lelaki bernama Parimanam @ S P Manan, 70, selepas ditahan pihak polis.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu pada jam 4.30 petang, 28 Mei tahun lalu, di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ramesh juga didakwa dengan dua pertuduhan, bersama seorang lagi pegawai polis, Inspektor Mohamad Syafiq Solah, 29, menerima RM7,000 daripada Parimanam untuk melepaskan tiga pekerja warga asing itu.

Kedua-dua mereka yang didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Mei dan 4 Jun tahun lalu, di pejabat sama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mohamad Syafiq juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16a (B) Akta SPRM, menerima RM3,000 daripada seorang individu, C Kumar untuk melepaskan tiga pekerja Parimanam yang ditahan polis.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 Jun tahun lalu di pejabat sama.

Mohamad Syafiq bersama seorang anggota polis, Lans Koperal Muizzuddin Muhammad, 32, kemudian membuat pengakuan tidak bersalah terhadap satu pertuduhan menerima suapan RM2 000 sebagai dorongan untuk melepaskan tiga pekerja asing itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Mei tahun lalu di pejabat sama.

Ramesh, Mohamad Syafiq dan Muizzuddin juga masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap dua, tiga dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 Kanun Keseksaan, menerima tanpa balasan wang suapan daripada Parimanam untuk melepaskan tiga pekerja warga asingnya.

Jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi bagi kesalahan mengikut Akta SPRM.

Manakala Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Ja'afar memberitahu mahkamah kesalahan dilakukan itu tidak boleh dijamin namun menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan jika mahkamah cenderung memberikan jaminan.

Peguam Asmadi Hussin yang mewakili Ramesh, bagaimanapun berkata walaupun pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya, mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan.

Katanya, tiada sebab untuk anak guamnya yang kini bertugas di IPD Batu Gajah, untuk melarikan diri.

"Anak guam saya sudah berkahwin dan mempunyai empat anak termasuk tiga yang belajar di universiti.

"Tertuduh sudah berkhidmat selama 25 tahun dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) selain mendapat surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri," katanya.

Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan utama dengan pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan 6 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 4:31pm
d