mutakhir

Catuan air di Melaka bermula Rabu depan

Oleh Amir Mamat

MELAKA terpaksa melakukan catuan bekalan air secara berjadual bermula 29 Januari ini susulan paras air di tiga empangan di negeri ini semakin susut.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sehingga tengah hari ini, Empangan Durian Tunggal hanya mencatatkan 38.5 peratus kapasiti air, diikuti Empangan Jus (44.5 peratus) dan Empangan Asahan (56.7 peratus).

Beliau berkata, sehubungan itu, sebahagian besar penduduk dalam daerah Melaka Tengah akan terjejas dengan catuan berkenaan, manakala hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan tidak akan terjejas.

“Bagi memastikan bekalan air terus mencukupi sehingga peralihan monsun, kerajaan negeri membuat keputusan untuk melaksanakan bekalan air berjadual bermula Rabu ini membabitkan 62.8 peratus penduduk di negeri ini bersamaan kira-kira 550,673 orang penduduk.

“Bagaimanapun catuan ini tidak akan menjejaskan sambutan Tahun Baru Cina kerana ia dimulakan selepas perayaan,” katanya selepas merasmikan program Coffee Break anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) di Stesen Petronas Titian Sinar di Ayer Keroh, hari ini.

Adly berkata, sebagai tujuan penyelarasan, penghantaran bekalan air ketika catuan dilaksanakan, kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) membuka sebanyak 132 pusat sehenti di kawasan Zon 1.

Beliau berkata, pusat sehenti berkenaan akan menyalurkan maklumat terkini situasi air di kawasan berkenaan selain peranan Pejabat Daerah, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan hebahan melalui media.

“Orang ramai diminta untuk membuat persiapan awal dan menyimpan air yang mencukupi untuk keperluan harian,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 4:37pm
d