mutakhir

'Kami musykil...'

Oleh Amran Yahya

PENDUDUK di Taman Putra, Juasseh, Kuala Pilah, meragui tindakan pengusaha ladang pertanian berhampiran perumahan itu yang melakukan penyambungan paip untuk bekalan air ke ladang terbabit.

Kemusykilan penduduk timbul setelah melihat penyambungan hanya diambil dari paip taman perumahan berkenaan dan bukannya dari paip di jalan utama.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Putra, Mohamad Sidek Mohamad Tahir, 57, berkata, penduduk mula berasa bimbang berhubung status penyambungan itu sama ada dibenarkan atau tidak mengikut peraturan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Beliau berkata, pihaknya percaya penyambungan itu sah mengikut undang-undang kerana terdapat meter dipasang pihak SAINS, tetapi persoalannya mengapa punca sambungan itu diambil dari paip dalam taman mereka.

“Ini semua gara-gara untuk menjimatkan kos kerana jarak ke paip utama kira-kira 500 meter, namun keburukan jangkamasa panjang kami yang akan menanggungnya.

“Kami difahamkan pengusaha ladang terbabit ingin menanam pokok durian Musang King dengan jumlah banyak.

“Jika ladang mula beroperasi dan penggunaan alat penyiraman ‘sprinkler’ serta pembinaan rumah kongsi, sudah pasti tekanan air menjadi perlahan.

“Kedudukan ladang itu di kawasan rendah sudah pasti tumpuan air akan lebih ke kawasan mereka dan kami hanya menikmati air dari ‘sisa’ mereka,” katanya ketika ditemui di Taman Putra, hari ini.

Mohamad Sidek berkata, paip digunakan mereka bersaiz 50 milimeter (mm) manakala panjang paip pula lebih satu kilometer sudah pasti memberi kelebihan kepada pemilik ladang terbabit.

Sehubungan itu, katanya, dia berharap pihak berkenaan dapat menyiasat perkara itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini di masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS Negeri Sembilan, Rozita Ismail ketika dihubungi memberitahu, pihaknya akan berhubung dengan Unit Penguatkuasaan SAINS untuk menyiasat berhubung aduan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan segera dan sewajarnya akan diambil bagi menyelesaikan perkara itu serta keselesaan penduduk taman.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 4:48pm
d