mutakhir

Jangan panik ! Air empangan masih OK [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesahkan paras air di tiga empangan iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Melaka dalam keadaan stabil.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazli Ismail, berkata buat masa ini empangan berkenaan masih boleh membekalkan air mengikut keperluan.

Katanya, pihaknya sebelum ini sudah membuat perjanjian dengan semua pengendali untuk menyalurkan air di empangan yang memerlukan atau yang mengalami paras air kritikal.

“Sebagai contohnya di Kedah, sehingga Ahad lalu kita lihat kadar paras air di tahap stabil walaupun ada penyusutan yang agak banyak di Empangan Gubir.

“Kita ada persetujuan dengan pengendali lain, jika di Kedah sedang alami masalah, empangan berdekatan seperti di Pulau Pinang, Melaka atau negeri lain akan bantu. Kita akan gerakkan seluruh pengendali untuk membantu empangan yang memerlukan. Hal ini termaktub pada semua empangan.

“SPAN akan memantau secara rapat empangan terbabit, seandainya ada keperluan lain seperti mahu mencatu atau melakukan pembenihan awan, mereka perlu memohon kepada pihak SPAN dan pihak kami akan melihat ada keperluan atau sebaliknya untuk berbuat demikian,” katanya dalam sidang media program Larian ‘water is Life 2020’ di Cyberjaya, hari ini.

Tambah Mohd Fazli, di bawah pentadbiran SPAN kini ada sebanyak 46 empangan di semenanjung serta Labuan dan tidak termasuk Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini media melaporkan beberapa empangan di tiga negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Melaka dilihat susut berikutan cuaca panas ketika ini.

Sementara itu, mengenai larian berkenaan Mohd Fazli berkata ia adalah tahun kedua diadakan sempena sambutan Hari Air Sedunia yang akan berlangsung pada 11 April ini di Anjung Floria, Putrajaya.

Bertemakan ‘Bergembira bersama! Gunalah air secara berhemat’, Mohd Fazli berharap dengan larian berkenaan ia dapat memberi kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan untuk memelihara dan memulihara sumber air serta menggunakan air secara berhemat.

Selain itu juga, melalui larian berkenaan ia secara tidak langsung dapat menggalakkan masyarakat untuk menyertai aktiviti sihat. Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu lima kilometer dan 10 kilometer.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 5:10pm
d