mutakhir

'Biarlah kami berlapar...' [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

MACAM mana susah sekalipun, saya dan isteri akan berusaha juga mencari wang untuk anak kami. Biar kami yang berlapar asalkan bukan mereka,” kata Ho Kim Chew, 50.

Kim Chew dan isterinya, Leong Sau Chin, 41, kini menyewa bersama empat anak mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia di sini.

Bagaimanapun, Ho Kim Chew, 50, sudah enam tahun tidak dapat bekerja disebabkan masalah kesihatan dan kini bergantung dengan pendapatan isterinya yang bekerja sebagai tukang cuci sebuah pub di Ampang.

“Saya pernah bekerja sebagai pekerja pengubahsuaian dan kemudiannya pengutip besi tetapi terpaksa berhenti pada 2014 kerana masalah asma serius, sakit pinggang serta lutut sekali gus menyukarkan untuk berjalan lama.

“Sejak itu, saya hilang punca pendapatan tetapi berusaha juga mencari wang dengan mengutip seterusnya menjual kotak, besi atau apa saja bahan buangan demi menyara anak yang masih bersekolah.

“Wang hasil jualan itu yang digunakan untuk membeli makanan untuk anak dan belanja sekolah mereka,” katanya.

Berkongsi kepayahan dilalui, Kim Chew berkata, mereka sekeluarga pernah menumpang mandi di rumah jiran dan tinggal dalam keadaan bergelap selepas bekalan air serta elektrik dipotong kerana tidak melangsaikan tunggakan bil utiliti.

Malah, sudah empat tahun mereka sekeluarga tidak meraikan perayaan Tahun Baru Cina disebabkan kesempitan hidup.

“Kami sekeluarga pernah diminta keluar dari rumah kerana tidak membayar sewa bulanan dan itu belum lagi bekalan elektrik dan air yang dipotong.

“Namun, jiran sekeliling sangat prihatin dan mereka yang banyak membantu ketika kami dalam kesusahan.

“Perayaan Tahun Baru Cina juga susah lama tidak disambut dan tiada persiapan yang dibuat sebaliknya kami sekeluarga akan duduk di rumah saja nanti seperti tahun sebelumnya.

“Cuma baru-baru ini ,ada sekumpulan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada anak muda Melayu datang mengecat dinding rumah dan memberi sumbangan tilam untuk kami sekeluarga. Terima kasih buat mereka,” katanya.

Sementara itu, Leong Sau Chin, 41, berkata dia hanya meraih pendapatan bulanan sebanyak RM1,500 sebagai tukang cuci dan jumlah itu tidak cukup untuk menyara mereka sekeluarga.

Disebabkan itu, dia terpaksa mencari bahan buangan yang masih boleh digunakan untuk dijual bagi mendapatkan pendapatan sampingan.

“Saya bekerja pada sebelah malam iaitu bermula 7 malam hingga 3 pagi.

“Waktu siang digunakan untuk mencari bahan buangan untuk dijual tetapi hasilnya tidak menentu, namun dapatlah digunakan untuk menampung perbelanjaan harian.

“Saya akan berusaha walau apa pun yang berlaku, saya dan suami tidak akan meminjam wang daripada orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 9:25pm
d