mutakhir

Anak pecah rumah bapa

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI ditahan selepas memecah masuk rumah bapa kandungnya di Gedong di Simunjan sebelum melarikan tong gas, gergaji rantai dan sebuah motosikal pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Simunjan Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 60 tahun yang memaklumkan rumahnya dipecah masuk oleh suspek melalui tingkap di hadapan rumah pada 15 Januari lalu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, mangsa mendapati tiga tong gas, satu gergaji rantai dan sebuah motosikal Yamaha Lagenda miliknya hilang dalam kejadian itu.

“Bertindak atas maklumat diterima, kami menahan anak lelaki mangsa berusia 30 tahun di kawasan Balai Ringin Serian pada 18 Januari lalu.

“Suspek mengaku memecah masuk rumah bapanya dan menjual tong gas serta gergaji rantai kepada seseorang di Gedong manakala motosikal pula disimpan di rumah neneknya di kawasan Balai Ringin Serian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine selain memiliki rekod jenayah berkaitan pecah amanah.

Dalam kes berasingan, Melbin berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di Kampung Batu 12 Jalan Borneo Height, Kuching semalam yang terbabit terbabit dalam kes pecah rumah di Pekan Simunjan, 25 Disember lalu.

“Kami menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 68 tahun yang memaklumkan rumahnya dipecah masuk melalui pintu belakang menyebabkan kehilangan satu komputer riba serta tabung duit syiling.

“Ketika kejadian, mangsa berada di dalam bilik dan terdengar pintu belakang diumpil tetapi tidak berani keluar.

“Hasil soal siasat dilakukan mendapati suspek adalah penduduk kampung berhampiran pekan Simunjan dan dia mengaku memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang dengan cara mengumpil pintu menggunakan besi selain terbabit satu lagi kes pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, komputer riba yang dilarikan suspek dijual kepada seseorang di sekitar pekan Simunjan.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan rekod berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 9:41pm
d