mutakhir

Tiada niat tutup 'periuk nasi'

Oleh Rosyahaida Abdullah

“TUJUAN saya berkongsi rakaman video hanyalah untuk beri peringatan kepada peniaga lain supaya sentiasa jaga kebersihan dan ambil langkah sewajarnya bagi mengelak kejadian sama terjadi di kedai mereka,” kata Mohd Lukman Muhamad, 32.

Menurutnya, dia tidak berniat ‘menutup periuk nasi’ perniagaan restoran berkenaan dan tidak menyebut nama premis itu pada hantaran video berkenaan.

Video yang dimuat naik Mohd Lukman di media sosial baru-baru ini tular dengan memaparkan seekor tikus sedang ‘menjamah’ ayam berkuah di sebuah restoran 24 jam di Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur.

Sebahagian warganet memuji tindakan berani Mohd Lukman untuk berkongsikan ‘bahan bukti’ itu.

Bagaimanapun, segelintir warganet mempertikaikan tindakannya kerana dianggap cuba menjatuhkan perniagaan restoran terbabit.

Menceritakan perihal sebenar, Mohd Lukman berkata, dia dan tiga rakan makan di restoran berkenaan selepas pulang dari kerja pada 3 pagi pada hari kejadian.

Menurutnya, dia baru saja keluar dari tandas restoran berkenaan sebelum rakannya yang sedang merakam video memaklumkan mengenai tikus terbabit.

Sebaik melihat tikus berkenaan, Mohd Lukman berkata, dia terus memanggil seorang daripada kakitangan restoran dan menunjukkan ke arah tikus terbabit.

“Kakitangan terbabit seperti acuh tidak acuh melayan saya, dia hanya ambil ayam yang sudah dimakan tikus itu ke bahagian dapur restoran sebelum muncul semula tidak lama kemudian.

“Saya akui, saya memang tidak berpuas hati kerana saya syak dia tidak terus buang ayam itu memandangkan dia terlalu cepat kembali ke depan kedai.

“Apa lagi dengan keadaan pelanggan yang agak ramai ketika itu, saya sendiri tertanya-tanya jika ayam itu akan dibawa semula ke depan untuk dijual selepas kami beredar.

“Disebabkan itu, saya minta jumpa pengurus. Tidak lama selepas itu muncul seorang lelaki, saya tidak pasti jika dia pengurus atau tidak tetapi dia tawarkan makan percuma kepada kami dan pastilah saya tolak kerana bukan itu tujuan saya.

“Saya cuma mahu dia buang ayam itu kemudian cuba selesaikan masalah, pada saya sepatutnya perlu ada kakitangan yang sentiasa berada di bahagian ayam terbabit untuk pantau,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Jelas Mohd Lukman, dia dan tiga lagi rakannya itu beredar dari kedai terbabit selepas membayar.

Hari berikutnya, kata Mohd Lukman, dia mula bertanya kepada rakannya untuk kongsi video terbabit di media sosial memandangkan restoran itu kelihatan beroperasi seperti biasa, seolah-olah tidak bertindak melakukan pembersihan.

“Saya kongsi sekitar 10 pagi dan tidak sangka ia tular begitu cepat. Seingat saya pada 12 tengah hari, ada seorang pegawai Jabatan Kesihatan menghantar mesej kepada saya bertanyakan maklumat mengenai restoran itu.

“Hari berikutnya saya dapati restoran itu sudah ditutup dan difahamkan tidak dibenarkan operasi selama 14 hari untuk tujuan pembersihan.

“Pada saya, penutupan itu secara tidak langsung membuktikan tahap kebersihan mereka tidak menepati ketetapan pihak berkuasa sebagaimana video yang saya muat naik juga menunjukkannya,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 11:49pm
d