mutakhir

Jaga-jaga penjenayah semua

Oleh Hamzah Osman

LANGKAWI yang mendahului penggunaan teknologi komunikasi generasi kelima (5G) turut dimanfaatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu dalam mengekang jenayah.

Malah, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim turut memberi amaran kepada penjenayah untuk tidak sewenangnya menjalankan kegiatan mereka di pulau pelancongan itu.

Katanya, polis mampu memantau jenayah dari jarak jauh menerusi sistem Penyelesaian Keamanan dan Keselamatan Bandar Pintar 5G berpusat di IPD Langkawi.

“Kami sudah menguji sistem 5G, kolaborasi bersama Celcom Axiata Bhd dan ternyata ia amat berkesan untuk mengesan penjenayah.

“Bagi tujuan itu, sebanyak lapan kamera video panorama masa nyata 360 darjah UHD 4K (kualiti paparan 4000 piksel) digunakan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, antara lokasi dipasang kamera itu ialah di sepanjang Jalan Pantai Chenang dan Dataran Chenang, selain kamera yang mampu mengesan haba di Dermaga Tanjung Lembung.

“Semua kamera itu memiliki Kepintaran Buatan (AI) dan analisis video, pemantauan masa nyata serta kualiti videonya berdefinisi tinggi, selain berupaya membuat pengecaman untuk mengenal pasti suspek dan nombor plat kenderaan.

“Ini akan membolehkan tindakan pantas diambil anggota kita,” katanya yang memberitahu semua kakitangannya sedang menyesuaikan diri dengan rangkaian terkini itu.

Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 9:30am
d