mutakhir

Jumpa mayat dalam kuari

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

MAYAT lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui dengan kesan luka di kepala dan lebam di badan di kuari pasir di Batu 9 3/4, Bota Kanan di Bota, hari ini.

Mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya ditemui orang awam pada 8.20 pagi sebelum dilaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, mangsa yang dipercayai warga Indonesia itu ditemui terbaring dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju.

Menurutnya, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira 10 jam lalu dan turut disyaki berlaku pergelutan antara mangsa dengan individu yang tidak dikenal pasti di sekitar kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan pada mayat mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu menemui dua luka sepanjang kira-kira lima sentimeter (cm) dan 15 cm dipercayai kesan daripada senjata tajam selain lebam di badan.

“Polis percaya berlaku pergelutan antara mangsa dengan individu terbabit di sekitar kawasan kejadian sebelum mangsa rebah di lokasi dia ditemui dan jari hantu kanan mangsa turut didapati hampir putus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, bagaimanapun pihaknya masih belum dapat mengenal pasti jika suspek yang terbabit dalam kejadian itu hanya membabitkan seorang individu atau berkumpulan.

“Setakat ini, polis juga masih belum mempunyai maklumat berhubung mangsa berikutan tiada sebarang dokumen ditemui pada mangsa.

“Senjata yang digunakan juga tidak ditemui di kawasan berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar dan individu yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Barudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, saksi dikenali sebagai Bakong, 30, berkata, dia menemui mayat mangsa ketika menghantar ibunya yang berkerja di kuari berkenaan.

“Sebaik masuk dalam kawasan kuari saya terkejut melihat mangsa yang sudah terbaring kaku dengan kesan lebam di badan sebelum menghubungi rakan yang kemudian memaklumkan kejadian itu pada polis.

“Saya tidak mengenali mangsa tetapi tahu yang dia pernah buat kerja di sekitar kawasan ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 2:08pm
d