mutakhir

13 hari, 495 notis kepada perokok

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengeluarkan 495 notis kesalahan kepada perokok kerana melanggar penguatkuasaan larangan merokok dalam premis sepanjang 13 hari penguatkuasaan larangan merokok berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.

Sebanyak 53 notis dikeluarkan kepada golongan remaja yang merokok di premis makan tanpa mempedulikan tanda amaran pemilik premis.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Muda berkata, 64 notis amaran dikeluarkan pemilik premis seluruh negeri membabitkan 53 notis gagal meletakan tanda larangan merokok dan 11 notis gagal memastikan pelanggan tidak merokok dalam premis mereka.

Katanya, 290 notis pelbagai kesalahan dikeluar kepada perokok yang merokok dalam pusat membeli belah (202), stesen minyak (20), hentian pengangkutan awam (23), hentian rehat dan rawat (20), taman awam (5), pusat hiburan (4), menjual tokim dibawah harga minimum (2) dan tiada tanda larangan merokok bawah umur 18 tahun (1).

"Sebanyak 9,074 premis makanan diperiksa membabitkan 1,411 di daerah ini diikuti 1,307 di Rompin, Bera (1,214), Bentong (1,052), Cameron Highlands (909), Temerloh (647), Maran (618), Pekan (608), Raub (551), Lipis (420) dan Jerantut (349).

"Aktiviti penguatkuasa akan terus dilakukan secara berterusan bagi memastikan semua pihak iaitu perokok dan pemilik premis mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan," katanya, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, individu yang menerima notis kerana kesalahan merokok di tempat makan akan dikenakan kompaun RM250.

Dr Bahari berkata, pihak yang melakukan kesalahan pertama boleh membuat rayuan dikurangkan kompaun kepada RM150 sekiranya bayaran dapat diselesaikan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

Namun katanya, bagi kesalahan kedua tiada lagi pengurangan kompaun diberikan kepada perokok dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu RM350 akan dikenakan bagi individu yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

"Individu yang gagal membayar kompaun dalam tempoh dua bulan dari tarikh notis dikeluarkan akan diambil tindakan mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

"JKN Pahang meminta semua pihak terutama perokok supaya memberi kerjasama dan sentiasa mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat yang tidak merokok dapat dilindungi seterusnya mengelak dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 5:20pm
d