mutakhir

Kejamnya...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“ENTAH di mana silapnya anak kucing itu sampai ada yang sanggup gunting kedua belah telinganya dan dibiarkan merayau kelaparan.

“Kalau tak suka haiwan macam ini, tak payah la sampai mendera,” kata Muhammad Ayman Abdullah, 33.

Dia menemui kucing betina itu di kawasan medan selera Batu 13, dekat Jitra, jam 12 tengah malam tadi.

Katanya, ketika ditemui, anak kucing itu dalam keadaan lapar dan kesejukan.

“Ketika itu saya dan rakan, Ku Shahimbran Firdus Ku Shah Budin, 33, minum di medan selera itu, selepas habis waktu bekerja. Saya ternampak kucing itu menggeselkan kepalanya di kaki saya.

“Waktu itu saya nampak kucing itu seperti kelihatan lemah dan mungkin kedua belah telinganya baru digunting,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Muhamad Ayman berkata, disebabkan kasihan melihat haiwan itu, dia memberi cebisan makanan kepada anak kucing berkenaan.

Katanya, rakannya itu kemudian membawa kucing berkenaan pulang ke rumah untuk menjaganya.

“Memang manusia sekarang kejam sampai binatang pun sanggup mereka dera.

“Saya tengok pun jadi geram sebab kucing tak pandai melawan, apa yang manusia buat padanya, ia reda,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2020 @ 9:06am
d