mutakhir

Pembunuh lebih dari seorang

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

POLIS percaya kejadian pembunuhan membabitkan lelaki warga Indonesia dalam kejadian di kuari pasir di Batu 9 3/4, Bota Kanan di Bota, dilakukan lebih daripada seorang individu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Barudin Wariso berkata, pihaknya mengesyaki kejadian itu dilakukan lebih daripada seorang individu berdasarkan kecederaan dialami mangsa.

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, semalam mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan berganda akibat trauma objek tumpul di seluruhan badan.

"Polis percaya suspek kejadian ini lebih daripada seorang individu berdasarkan kesan kecederaan berganda pada mangsa termasuk dua luka di kepalanya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Barudin berkata, setakat ini, mangsa dikenal pasti berasal dari Lombok, Indonesia dan berusia 35 tahun serta masih bujang namun identiti sebenarnya belum dapat disahkan.

"Sudah dapat nama tetapi belum dapat disahkan jika itu adalah nama mangsa. Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan polis sedang mengesan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ini," katanya.

Semalam media melaporkan, penemuan mayat mangsa dengan kesan luka di kepala dan lebam di badan di kuari pasir di Batu 9 3/4, Bota Kanan, Bota.

Insiden itu dipercayai berlaku dalam satu pergelutan antara mangsa dengan individu yang tidak dikenal pasti di sekitar kawasan berkenaan dan dilaporkan, jari hantu kanan mangsa hampir putus ketika mayatnya ditemui.

Disiarkan pada: January 25, 2020 @ 12:02pm
d