mutakhir

Johan qariah 2018 naik pelamin

Oleh Hassan Omar

JOHAN qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-60 pada 2018, Suhailah Zulkifly selamat bernikah dengan pasangannya, Haneefa Shahrom di Alor Gajah, Melaka hari ini.

Pasangan mempelai yang masing-masing berusia 28 tahun itu melangsungkan majlis akad nikah dan bersanding di sebuah restoran di Solok Duku, Masjid Tanah.

Majlis persandingan mereka itu dihadiri kira-kira 4,000 hadirin terutama komuniti Kampung Londang iaitu kampung kediaman ibu bapa Suhailah, Zulkifly Johar, 60, dan Robiah Ahmad, 58, serta anggota keluarga pengantin lelaki dari Ulu Tiram, Johor.

Pasangan berkenaan selamat dinikahkan pada 9 pagi dengan Zulkifly menikahkan sendiri Haneefa dengan anaknya itu manakala jamuan untuk hadirin bermula 11.30 pagi sebelum pasangan terbabit bersanding pada 12.15 tengah hari.

Suhailah yang juga anak sulung daripada empat adik-beradik mula mengenali suaminya ketika mereka bertugas sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru lebih setahun lalu.

Menurutnya, sekarang dia bertugas di sebuah sekolah di Labu, Negeri Sembilan manakala suaminya bertugas di Jabatan Al-Quran & Aas-Sunnah (Tahfiz) KUIM.

“Alhamdulillah, Allah SWT memudahkan segala urusan mempertemukan jodoh kami berdua sejak mula berkenalan hingga ke saat bahagia pada hari ini.

“Semoga Allah memudahkan perjalanan kami selepas ini hingga akhir hayat,” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Suhailah berkata, dia turut mengajar mengaji al-Quran dan taranum di beberapa masjid sekitar Melaka dan Negeri Sembilan serta menjadi hakim tilawah al-Quran dan hafazan di Melaka.

Ditanya sama ada dia bersedia menyertai tilawah al-Quran dan hafazan pada masa akan datang walaupun sudah berkahwin, Suhailah berkata, dia berserah kepada ketentuan Allah.

Suhailah dinobatkan sebagai johan qariah MTHQA Ke-60 pada 11 Mei 2018 selepas memperoleh 92.05 markah dan membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai sebanyak RM40,000.

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan al-Quran, Sunnah dan Sosiologi itu berjaya menamatkan pengajian tahfiz 30 juzuk al-Quran di sebuah maahad tahfiz di Kuala Kubu Baru, Selangor sebelum itu.

Sebelum meraih kejayaan itu, Suhailah terlebih dahulu mengecapi kemanisan muncul johan tilawah peringkat Melaka pada 2011, 2012, 2015, 2017 dan 2018.

Disiarkan pada: January 25, 2020 @ 4:14pm
d