mutakhir

'Spiderman' dicekup berkhalwat

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BIARPUN hanya berkain pelikat, lelaki warga Myanmar nekad melakukan aksi ‘Spiderman’ dengan memanjat alang rumah sewanya di Kampung Seberang Terus, di Alor Setar, selepas diserbu Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), malam tadi.

Dalam serbuan jam 12.40 tengah malam itu, lelaki berusia 30-an yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) berjaya ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan wanita tempatan berusia 30 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, serbuan itu diketuai Mat Nasir Mat Dali bersama anggotanya selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui lelaki terbabit bersembunyi atas alang rumah dengan hanya berkain pelikat dan tidak memakai baju.

Katanya, anggotanya JAIK kemudian mengarahkan lelaki itu turun bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

“Hasil soal siasat mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang ikatan atau hubungan yang sah menyebabkan mereka disyaki berkhalwat.

“Kami dimaklumkan, mereka tinggal di rumah itu sejak November tahun lalu dan wanita terbabit berasal dari Pahang. Warga Myanmar itu memintanya (wanita) datang dan tinggal bersamanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, pasangan terbabit mengaku mengenali melalui laman sosial sebelum menjalinkan hubungan.

Katanya, pasangan kekasih itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kota Setar untuk dibuat laporan tangkapan sebelum mereka dibawa ke pejabat agama untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 11:28am
d