mutakhir

1 maut, 9 cedera

Oleh Hassan Omar

LELAKI warga emas maut manakala sembilan lagi cedera selepas dua kereta bertembung di Jalan Bukit Merchant, Pulau Sebang, Alor Gajah, malam tadi.

Dalam kejadian 11.45 malam itu, A Karpanah, 61, mati selepas Proton Wira dipandunya berlanggar dengan Proton Wira dipandu Phang Cheng Yoong, 19.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, selain Cheng Yoong, mangsa yang cedera ialah empat rakannya berusia antara 16 hingga 18 tahun yang menumpang keretanya dan empat anggota keluarga kereta dipandu Karpanah yang berusia antara tujuh hingga 34 tahun.

Rakan Cheng Yoong yang cedera ialah Low Chee Seng, 18; Wong Wei Jun, 17; Jackson Tan Jie Hao, 16; dan Pang Qi Shen, 16.

Anggota keluarga Karpanah yang cedera ialah S Vijih, 34; K Letchumy, 34; M Leela (umur belum diperoleh) dan B Yakshena, 7.

Beliau berkata, ketika kejadian Cheng Yoong dan rakannya dalam perjalanan dari Tampin, Negeri Sembilan ke bandar ini manakala Karpanah dan anggota keluarganya dari Rumah Awam Seri Lendu, Jalan Rumbia, dekat sini ke Tampin.

Katanya, siasatan awal mendapati Cheng Yoong dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Kereta mereka bertembung di laluan lurus yang gelap tetapi ada lampu jalan dan menyebabkan Karpanah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di Alor Gajah, hari ini.

Mayat mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala mangsa cedera dirawat di hospital berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan itu Arshad meminta pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya, terutama pada musim perayaan Tahun Baharu Cina sekarang yang menyebabkan jumlah kenderaan di jalan raya meningkat berbanding hari biasa.

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 1:09pm
d