mutakhir

Empat sekeluarga tak jumpa jalan turun

Oleh Adnan Ibrahim

EMPAT sekeluarga terpaksa meminta bantuan bomba dan penyelamat selepas mereka gagal turun selepas menawan puncak Gunung Lambak dekat sini kerana cuaca yang gelap, malam tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Badrulhisyam Loi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 7.23 malam dan satu pasukan terdiri daripada tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, setibanya pasukan di lokasi kira-kira 8 malam anggota terbabit mendapati dua lelaki dan dua wanita berusia 15 hingga 42 tahun tidak menemui jalan turun.

“Empat sekeluarga itu ditemukan di ketinggian 365 meter dari aras laut iaitu separuh daripada ketinggian gunung ini iaitu 510 meter pada 8.24 malam.

“Sebelum itu, empat pendaki lain juga dipercayai keluarga sama berusia 20 hingga 24 tahun selamat sampai di kaki gunung dan melaporkan kegagalan ahli keluarga mereka mencari jalan turun selepas keadaan jalan yang gelap,” katanya

Badrulhisyam berkata semua mangsa berjaya dibawa turun pada 9.30 malam.

Menurutnya, semua mangsa yang selamat dibawa turun itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan pulang.

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 1:22pm
d