mutakhir

Menara Jam terus jadi tumpuan

Oleh BERNAMA

MENARA Jam di bangunan Stadthuys, Bandar Hilir, yang kini berusia 134 tahun bukan hanya menjadi rujukan masa, malah terus gah menjadi mercu tanda dan satu daripada lokasi pelancongan utama di Melaka.

Ketua penjaga Menara Jam, Fadlina Mohni, 43, berkata seawal 8 pagi, sudah tentu pelancong dari dalam dan luar negara akan berkumpul di sekitar Menara Jam pada ketinggian 15 meter dan dibina pada 1886 itu bagi merakam gambar kenangan.

“Menara Jam Melaka atau lebih dikenali sebagai Menara Jam Tan Beng Swee dibina kira-kira 61 tahun selepas penyerahan wilayah Melaka dari Belanda kepada British dan sebenarnya usia Menara Jam jauh lebih muda daripada bangunan pentadbiran penjajah Belanda, Stadthuys yang dibina pada 1650.

“Kini usia menara ratusan tahun, jamnya tidak pernah dibiarkan berhenti kerana sejak bertahun-tahun ia dijaga dengan rapi termasuk mencuci, servis dan menguji setiap komponen bagi memastikan ia terus menjadi rujukan masa untuk 134 tahun lagi atau lebih lama,” katanya kepada Bernama di bangunan Stadthuys di Melaka, hari ini.

Fadlina yang juga Jurutera Elektrik Kanan, Jabatan Kejuruteraan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berkata, lebih menarik, Menara Jam itu turut menjadi lambang kasih sayang antara keluarga kerana ia dibina seorang anak yang mahu memenuhi permintaan bapanya.

Beliau berkata, menurut sejarah, Menara Jam itu dibina Tan Jiak Kim iaitu seorang dermawan Cina Peranakan yang mahu menunaikan hajat mendiang bapanya, Tan Beng Swee yang mengimpikan sebuah Menara Jam di tengah bandar Melaka ketika hayatnya masih ada.

“Selepas pemergian Beng Swee, terbinalah Menara Jam di bangunan Stadthuys berhampiran Queen Victoria’s Fountain, Muzium Budaya Cheng Ho dan Christ Church.

“Setiap empat muka jam berdiameter 34.5 sentimeter (cm), berangka roman dan jam berkenaan diimport khas dari England.

“Kemudian pada 1982, keempat-empat jam itu diganti dengan jenama Seiko dari Jepun, sehingga mencetuskan kemarahan kebanyakan penduduk warga emas di sekitar Melaka dek kerana terkenangkan keperitan mereka hidup pada zaman penjajahan Jepun,” katanya.

Fadlina yang sudah 17 tahun menjaga Menara Jam turut dikenali dengan nama Jam Besar Bangunan Merah Bandar Hilir itu berharap agar menara jam bersejarah itu mampu terus dikekalkan dan dipelihara sebaik-baiknya supaya produk pelancongan itu dapat dihayati generasi akan datang.

Sementara itu, menurut pembantu Fadlina, Mohd Suhaimi Idris, 36, Penolong Jurutera Elektrik dan Fasiliti, MBMB, jam menggunakan voltan 24 volt itu turut dilengkapi dengan sistem kedudukan sejagat (GPS) berperanan untuk mendapatkan waktu masa yang tepat.

“Selain itu, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, kami memasang sistem bunyi burung pemangsa yang beroperasi setiap 45 saat, kemudian berhenti selama seminit bertujuan menghalang burung liar seperti gagak dan merpati hinggap serta membuang najis di sekitar Menara Jam itu.

“Kami akan melakukan servis pada sebelah malam bermula sekitar 9 malam dan tempoh siapnya bergantung kepada kerosakan yang berlaku pada Menara Jam itu.

“Kami tidak akan lakukan servis pada waktu siang kerana bimbang mengganggu pelancong yang hadir dan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Menara Jam berdenting setiap jam itu antara kawasan zon teras yang mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Melaka sebagai satu daripada negeri yang terpilih bagi menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM 2020).

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 2:22pm
d