mutakhir

Tiga beradik terbela

Oleh Siti Rohana Idris

NASIB tiga beradik Kampung Pasir Pekan, di Tumpat, yang pernah tercicir persekolahan kerana kemiskinan kini terbela selepas seorang ahli perniagaan akan membiayai pengajian mereka.

Mereka adalah Nik Razlan Nik Zulkifli, 15, Nik Suhaila, 13 dan Nik Norisah, 11, yang kesemuanya belajar di kelas pendidikan khas kerana masalah pembelajaran.

Persekolahan mereka akan dibiayai oleh Datuk Seri Sunny Ung yang turut menjadikan tiga beradik itu anak angkatnya.

Tiga beradik itu pernah tidak menghadirkan diri ke sekolah selama setahun (masing-masing pada tahun yang berbeza).

Walaupun sudah kembali bersekolah, mereka kerap terpaksa ponteng disebabkan tiada sumber kewangan dan ibu mereka, Nor Hayati Awang, 51, pula berstatus ibu tunggal sejak setahun lalu.

Sunny berkata, keputusan untuk menanggung persekolahan tiga beradik itu disebabkan tidak sanggup membiarkan mereka terabai.

“Saya akan menanggung perbelanjaan persekolahan mereka sehingga ke Tingkatan Lima. Jika ada yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, saya akan cuba bantu mereka dapatkan sebarang pinjaman, biasiswa atau bantuan kewangan dari mana-mana pihak.

“Begitu juga dari keperluan lain termasuk basikal untuk dua perempuan anak Nor Hayati ke sekolah, saya akan beli dan serahkan secepat mungkin untuk kegunaan mereka,” katanya ketika menziarah keluarga itu, baru-baru ini.

Sunny berkata, dari segi bantuan lain pula, dia akan serahkan secara berkala sama ada dalam bentuk kewangan atau barang makanan kerana berasa simpati terhadap nasib Nor Hayati dan lima anaknya yang berusia lima hingga 17 tahun.

Beliau turut bersimpati dengan anak sulung Nor Hayati, Nik Fazli Nik Zulkifli, 17, yang menghidap masalah paru-paru dan penyakit kulit sejak 10 tahun lalu.

“Saya difahamkan Nik Fazli berhenti sekolah pada tahun lalu kerana terlalu kerap tidak hadir ke sekolah disebabkan masalah kesihatan dan ini sangat menyedihkan,” katanya.

Sementara itu, Nor Hayati berterima kasih dan terharu atas bantuan itu.

“Sebelum saya bercerai pun, kami sudah hidup susah dan disebabkan itu, tiga anak terpaksa ‘ponteng’ sekolah kerana langsung tiada wang untuk belanja termasuk ketiadaan pengangkutan untuk ke sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 2:29pm
d