mutakhir

Majlis persandingan penuh beradat

Oleh Amran Yahya

MAJLIS perkahwinan Fatin Nadia Busu, 26, dan Muhammad Taufiq Mohd Jalil, 26, hari ini dilangsungkan dengan penuh beradat, tradisi dan istiadat Negeri Sembilan.

Apa tidaknya, majlis berlangsung meriah itu menampilkan segala keunikan, kekayaan warisan serta penuh dengan tradisi Luak Ulu Muar.

Paling menjadi tumpuan apabila perarakan mempelai turut disertai kerabat diraja, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

Majlis persandingan diadakan di rumah pengantin perempuan di Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah itu diserikan dengan adat mengarak pengantin dengan menaiki tandu.

Bertandu sejauh kira-kira 300 meter sambil diiringi orang ramai yang turut berbusana tradisional mengingatkan kembali zaman Skesultanan Melayu lama yang kini semakin dilupai.

Perarakan turut diserikan dengan paluan kompang dan sebaik pengantin turun dari tandu, kumpulan pencak silat mempersembahkan silat mereka sambil diiringi paluan gendang.

Begitulah hebatnya majlis persandingan pasangan pengantin hasil dari ilham dan kerjasama pihak keluarga dan Luak Ulu Muar.

Fatin Nadia berkata, semua pasangan pengantin mengidamkan suatu kelainan untuk diabadikan dalam kalendar perkahwinan mereka.

“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan ilham pihak keluarga serta Luak Ulu Muar, usaha kami menjadikan tema tradisional berjaya direalisasikan pada hari ini.

“Saya gembira dan berbangga dapat membuktikan adat tradisional Negeri Sembilan ini masih ‘relevan’ untuk dipraktikkan dan dapat ditonton orang ramai terutama kepada keluarga suami saya yang berasal dari Johor.

“Sekalung penghargaan atas kerjasama dari Luak Ulu Muar dan tetamu yang sudi mengenakan busana tradisional mengikut tema,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerapatan Luak Ulu Muar, Datuk Abdul Khalid Ujang berkata, persandingan penuh tradisi adat istiadat Negeri Sembilan itu mampu mengimbau nostalgia silam yang semakin dilupai.

“Kedua-dua pengantin bukanlah dari keluarga pengamal adat, tetapi hajat mereka untuk menjadikan tema klasik Melayu tetap kami hargai.

“Kami dari keluarga Luak Ulu Muar turut sama-sama bergotong-royong selama seminggu untuk menyediakan peralatan serta alat kebesaran.

“Dari sudut lain, kami berharap agar masyarakat yang hadir hari ini dapat mengetahui serba sedikit tentang adat perkahwinan Luak Ulu Muar,” katanya.

Abdul Khalid berkata, antara istiadat turut berlangsung adalah menaikkan alat kebesaran Luak Ulu Muar, istiadat menjemput bakal orang semondo, oleh orang pangka, berinai besar, bacaan terombo nikah kahwin dan perarakan panta kucung.

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 3:12pm
d