mutakhir

16 kematian hari ke-8

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEBANYAK 16 kematian dicatatkan pada hari kelapan Op Selamat 16 semalam sekali gus menjadikan korban sejak operasi bermula pada 18 Januari lalu meningkat kepada 113 orang.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 82 kes.

“Sebanyak 12,948 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Op Selamat sehingga semalam (kelmarin).

“Seramai 70 orang cedera parah dan 125 lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Selangor masih mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 3,870 kes diikuti Johor (2,005), Kuala Lumpur (1,540), Pulau Pinang (1,059) dan Perak (962).

Katanya, Selangor turut mencatat jumlah kemalangan maut tertinggi dengan 23 kematian, diikuti Johor (15), Sarawak (14) manakala Kedah dan Kelantan masing-masing 11 kematian.

Beliau berkata, sebanyak 205,414 saman dikeluarkan dalam tempoh lapan hari Op Selamat 16 dengan 128,539 saman membabitkan enam kesalahan utama jalan raya.

Ops Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina bermula sejak 18 Januari sehingga 1 Februari depan.

- tamat

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 6:41pm
d