mutakhir

Tujuh calon rebut jawatan Ketua Bahagian

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

TUJUH calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada dua bahagian menghantar borang pencalonan bagi jawatan Ketua Bahagian masing-masing, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Selangor, Mohd Azizan Ismail berkata, sehingga 12.45 tengah hari ini, tujuh calon itu mengemukakan pencalonan masing-masing.

“Mereka (calon) yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian ialah Selayang dan Hulu Selangor.

“Selain pertandingan tujuh penjuru, ada bahagian lain yang menang tanpa bertanding bagi jawatan itu,” katanya ketika ditemui pada Pendaftaran Pemilihan Calon Bersatu Zon 1 di Balai Masyarakat Puncak Alam Fasa 2, Kuala Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai pendaftaran pemilihan calon, Mohd Azizan berkata, proses itu berjalan lancar dengan pusat pengundian dibuka pada 9 pagi dan berakhir 2 petang.

“Terdapat lebih 100 calon menghantar borang pencalonan pelbagai peringkat jawatan.

“Di Selangor, ada empat zon iaitu zon 1, 2, 3 dan 4. Semuanya berjalan lancar dan tiada sebarang provokasi daripada mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, bekas calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi mengesahkan bertanding jawatan Ketua Bahagian Bersatu Tanjong Karang, hari ini.

Terdahulu, Zulkafperi mengemukakan borang pencalonan di Balai Masyarakat Puncak Alam Fasa 2, pada 10.55 pagi hari ini.

“Sekiranya dipilih ahli akar umbi, saya ingin perkasakan parti ini (Bersatu) apabila Parlimennya (Tanjong Karang) tewas pada PRU-14 lalu.

“Ini bebanan berat dalam usaha memperkasa parti supaya PRU akan datang, kita mampu merampas Parlimen Tanjong Karang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong yang dimenangi Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata, jawatan Ketua Bahagian disifatkan tidak mudah dan memerlukan komitmen sepenuhnya terhadap ahli dan rakyat di kawasan.

“Saya jangkakan saingan kali ini sengit yang membabitkan tiga penjuru, namun masih menaruh harapan tinggi kerana sentiasa bekerja.

“Meskipun kalah pada calon BN (Tan Sri Noh Omar), saya akan terus bekerja dan menyantuni masyarakat selain menambah seramai 2,500 ahli Bersatu,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 6:44pm
d