mutakhir

Pelajar lemas di Lata Jarum

Oleh BERNAMA

PELAJAR tingkatan tiga ditemui lemas selepas dipercayai tergelincir di Air Terjun Lata Jarum, Ulu Dong di Raub hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, Farid Haikal Yusri, 15, dipercayai lemas selepas hilang dibawa arus.

Menurutnya, mangsa bersama dua abang dan tujuh rakan berusia 15 hingga 24 tahun dari Sungai Buloh, Selangor tiba di air terjun itu untuk beriadah pada 10.30 pagi.

“Bagaimanapun, keterangan awal mereka yang bersama mangsa mendakwa mereka semua ditolak arus deras sehingga tergelincir ke kawasan lebih dalam kira-kira setengah jam selepas mula mandi.

“Kejadian menyebabkan mangsa gagal kelihatan menyebabkan abang dan rakannya cuba mencari namun gagal selain tiga daripada mereka terseliuh pada kaki akibat tergelincir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kama Azural berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 11 pagi dan operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan empat pegawai dan 26 anggota terdiri daripada polis, bomba, bomba sukarela dan Jabatan Perhutanan Pahang.

Katanya, mayatnya ditemui pada 2.25 petang di bahagian empangan air terjun itu dan dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 7:24pm
d