mutakhir

Muhyiddin kekal Ketua Bahagian BERSATU Pagoh

Oleh BERNAMA

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan Ketua Bahagian BERSATU Pagoh selepas tidak dicabar sehingga pencalonan ditutup pada 2 petang hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal yang mengemukakan pencalonan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pagoh turut menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan.

Difahamkan, Pengerusi BERSATU Johor merangkap Ketua Bahagian Bersatu Tebrau Mazlan Bujang pula dicabar Timbalan Ketua Bahagian Tebrau Saiful Ahmad dan Ketua Srikandi Tebrau Noorlihan Ariffin dalam pertandingan tiga penjuru bagi jawatan ketua bahagian itu.

Sementara itu, Pengerusi Pemilihan BERSATU Johor Ahmad Daud berkata, kesemua 26 bahagian di negeri terbabit layak mengemukakan pencalonan bagi pemilihan yang diadakan buat pertama kalinya.

Beliau berkata, proses penamaan calon yang bermula 9 pagi tadi hingga 2 petang di semua 26 pejabat bahagian berjalan lancar.

“Hingga 7 malam ini, pejabat BERSATU negeri sudah menerima borang pencalonan daripada 16 bahagian.

“Baki 10 bahagian lain masih belum diterima antaranya membabitkan kawasan Johor Utara termasuk Pagoh, Ledang, Sekijang, Bakri dan Batu Pahat,” katanya di Johor Bahru.

Menurut Ahmad, dijangkakan semua kertas pencalonan daripada 10 bahagian itu akan tiba di pejabat negeri selewat-lewatnya pada 10 malam ini.

Katanya, kira-kira 80 peratus bahagian menyaksikan pertandingan tiga penjuru manakala dua bahagian lagi berdepan pertandingan lima penjuru.

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 9:03pm
d