mutakhir

Kejadian dah 10 tahun...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menafikan berlakunya kemalangan mengorbankan banyak nyawa yang dikatakan di Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur hari ini.

Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai video kemalangan dikaitkan dengan kejadian itu yang tular di media sosial pada petang hari ini.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati rakaman video berdurasi empat minit 57 saat itu adalah kejadian kemalangan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan pada 2010.

“Video kemalangan itu didapati ditularkan semula oleh individu tidak bertanggungjawab dengan mendakwa kejadian itu berlaku di Genting Highlands, Pahang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azisman berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan orang ramai bimbang mengenai kejadian berkenaan.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati berkongsi maklumat di media sosial dan pastikan maklumat diperolehi disemak terlebih dulu.

“Perlu diingatkan bahawa individu yang menyebarkan maklumat palsu boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 10:48pm
d