mutakhir

Maut rempuh lampu isyarat

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SEORANG remaja perempuan maut selepas kereta yang dipandunya melanggar lampu isyarat di Kilometer 16.5, Jalan Ipoh-Kampar berdekatan Pusat Latihan Kemas Gopeng, pagi tadi.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, Hooi Wei En, 19, dari Taman Kinta Baru yang memandu kereta Proton Persona disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan itu selepas dihubungi pasukan perubatan Hospital Kampar sebelum anggota dikerahkan ke lokasi.

“Laporan awal yang diperoleh, mangsa yang memandu berseorangan gagal mengawal kenderaan melanggar lampu isyarat di lokasi kejadian.

“Pasukan Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Gopeng membanti mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Gopeng berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada 4.39 pagi.

“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa dan kemudian menyerahkan kepada pihak ambulans untuk pengesahan mangsa.

“Operasi yang diketuai pegawai bomba, Nor Zamri A Wahab itu tamat pada 5.39 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 11:14am
d