mutakhir

'Cukuplah untung ala kadar'

Oleh Nazri Abu Bakar

"CUKUPLAH untung ala kadar," kata Zai Asra Jamil, 41, peniaga lempeng kelapa dan roti canai 50 sen di warungnya di Pantai Belimbing, Durian Tunggal, Melaka.

Malah semua jenis air termasuk teh ais serta roti telur hanya dijual pada RM1 membuktikan dia sebenarnya mahu berkongsi rezeki dengan pelanggan.

Harga murah terbabit membolehkan warungnya dipenuhi pelanggan seawal 6 pagi dengan 80 peratus pelanggan penduduk dari luar kampung berkenaan.

"Hanya 20 peratus pelanggan dari kampung Belimbing selebihnya dari sekitar Melaka. Ada juga dari Kuala Lumpur, Seremban dan Johor terutama pada musim cuti sekolah atau cuti umum serta hujung minggu.

"Apapun, saya seronok melihat ramai pelanggan sambil menikmati hidangan dengan kadar harga murah," katanya.

Menurutnya, ianya juga secara langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung sekali gus membuka pilihan buat pelanggan menikmati hidangan yang disediakan.

Sementara itu, suaminya, Shamsul Khamis ,47 berkata, mereka dibantu lapan pekerja dengan bayaran gaji RM45 sehari.

Beliau berkata, mereka dapat menjual dengan harga murah berikutan memperolehi bahan mentah dan minyak masak terus dibeli di kilang dengan jumlah yang banyak.

Justeru, konsepnya dengan menawarkan harga murah namun memiliki pelanggan yang ramai dengan keuntungan yang rendah.

Apa yang menarik lempeng kelapa dan roti canai resepi ibunya itu Zaiton Hitam, 67, juga enak lembut dan lemak sehingga menjadi pilihan ramai.

Dia juga turut menjual mee sup, mee kari, bakso selain nasi campur bagi hidangan tengah hari dengan harga lebih rendah daripada lokasi lain.

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 11:22am
d