mutakhir

Tiga bekas pemimpin UMNO dicabar

Oleh Baharom Bakar

TIGA bekas pemimpin UMNO yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) akan dicabar pada pemilihan pertengahan bulan hadapan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dicabar pada pertandingan tiga penjuru untuk merebut Ketua Bahagian BERSATU Hulu Terengganu.

Rosol yang juga bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dicabar bekas calon BERSATU Dewan Undangan negeri (DUN) Ajil, Zamani Mamat dan Laisani Dollah.

Bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan pula dicabar dua calon lain iaitu Datuk Abdul Aziz Ismail dan Mohd Zaid Sulaiman pada pertandingan tiga penjuru pada pemilihan di bahagian Dungun.

Seorang lagi bekas pemimpin UMNO, Khazan Che Mat yang turut menawarkan diri bertanding Ketua BERSATU bahagian Kuala Nerus dicabar pemandu bekas Ketua UMNO bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohamad Nasir Ibrahim Fikri, Mohamad Jamal.

Bagaimanapun, Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Senator Datuk Razali Idris menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bahagian BERSATU Marang.

Razali yang juga Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata, Ketua BERSATU bahagian Kuala Terengganu, Datuk Zulkifli Mohamad yang menawarkan diri bertanding mengekalkan jawatan juga dicabar pada pertandingan dua penjuru.

Katanya, Zulkifli yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dicabar Ketua Penerangan BERSATU bahagian Kuala Terengganu, Badrolhisham Datuk Shafie dan Nordin Kamaruddin.

“Ketua ARMADA negeri, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Bahagian BERSATU Kemaman dicabar Syaiful Irfan Anang dalan pertandingan dua penjuru.

“Ketua Bahagian BERSATU bahagian Setiu, Yusop Majid yang menawarkan diri mengekalkan jawatan dicabar Datuk Dr Fauzi Musa, ” katanya pada sidang media khas di ibu pejabat BERSATU negeri, di Kuala Terengganu, hari ini.

Razali berkata, semua senarai calon yang menawarkan diri untuk bertanding dihantar ke Jawatankuasa Pemilihan parti di peringkat untuk proses saringan.

Katanya, hanya calon yang melepasi proses saringan layak untuk bertanding.

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 5:07pm
d