mutakhir

Cikgu Ahmad O sudah tiada

Oleh Mohamed Farid Noh

WARTAWAN sambilan Berita Harian dan Harian Metro Kota Tinggi, Ahmad Othman, 61, meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Selayang, Selangor, pada 4.15 petang hari ini

Allahyarham yang dikenali dengan panggilan Cikgu Ahmad O adalah antara wartawan disegani di Kota Tinggi dan banyak menghasilkan laporan berita sejarah berkaitan daerah berkenaan.

Anak ketiga Allahyarham, Muhammad Adam, 28, berkata, arwah ayahnya dirawat di Hospital Selayang sejak dua minggu lalu berikutan masalah jantung.

Namun, katanya, keadaan kesihatan ayah semakin merosot sejak empat hari lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir petang tadi.

“Ayah sangat minat menulis terutama laporan berita sehingga sanggup bersara awal sebagai guru Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota, Kota Tinggi pada 1998.

“Sejak bersara, ayah mendedikasikan seluruh kehidupannya sebagai seorang wartawan sehinggalah kesihatannya merosot lima tahun lalu, ” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Adam berkata, jenazah ayahnya akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Setiawangsa.

“Esok jenazah ayah akan dibawa ke Surau An Nur, Setiawangsa kira-kira jam 9 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Muda, Gombak pada 11 pagi, ” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 8:48pm
d