mutakhir

Kantoi di stesen kereta api

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Perlis membongkar aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di Stesen Keretapi Padang Besar, Padang Besar, melalui dua operasi khas, pada Khamis dan kelmarin.

Pengarah JIM Perlis, Basri Othman berkata, dalam operasi bersama Agensi Kawalan Keselamatan Malaysia (AKSEM) Perlis itu, pihaknya menahan 17 PATI termasuk seorang wanita yang menunggu untuk dibawa keluar ke negara jiran oleh sindiket.

Menurutnya, kesemua PATI berusia antara 20 hingga 48 tahun itu mengakui diminta menunggu di dalam kawasan stesen oleh sindiket bagi menunggu perjalanan kereta api ke Thailand.

“Operasi pertama pada 6.30 petang Khamis lalu, JIM menahan 12 PATI termasuk seorang wanita yang berlegar di dalam kawasan stesen kereta api dipercayai sedang menunggu sindiket.

“Kelmarin, pada 9.30 pagi, kami menahan lagi lima PATI lelaki bersama bagasi dipercayai sedang menunggu perjalanan kereta api ke Thailand untuk meninggalkan negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Basri berkata, hasil soal siasat mendapati PATI terbabit mengaku sudah membayar antara RM2,000 hingga ke RM2,500 seorang kepada sindiket sebagai upah untuk pulang ke negara asal.

“Sindiket semakin berani apabila menyasarkan kawasan tumpuan pelancong khususnya di dalam kawasan stesen kereta api bagi menyeludup migran pulang ke negara asal.

“Malah, ada antara suspek yang mengaku bahawa urusan keluar dan masuk ke negara ini dilakukan oleh rangkaian sindiket yang sama,” katanya.

Basri berkata, kesemua PATI direman selama dua minggu bermula dari hari mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 10:22am
d