mutakhir

Catuan air Melaka: Penduduk sudah bersedia

Oleh Nazri Abu Bakar

BERDEPAN catuan bekalan air bermula esok, penduduk Melaka sudah membuat persediaan awal, termasuk membeli tong untuk menyimpan stok air bagi menghadapi krisis itu.

Peniaga, Fadhil Arshad, 46 berkata, dia sudah menyediakan tong kecil dan besar bagi menyimpan air untuk perniagaan warung diusahakannya di Lendu, Melaka.

Menurutnya, situasi sama pernah berlaku lebih 20 tahun lalu ketika perniagaan warung diuruskan Allahyarham bapanya, Arshad Baba dan kini masalah itu berlaku kembali.

“Kedai makan memerlukan air yang banyak, justeru persediaan bagi menyimpan air amat penting.

“Saya masih ingat krisis air melanda Melaka dahulu, kami bekerja keras bagi memastikan pelanggan tidak terjejas dan kedai tidak ditutup,” katanya ketika ditemui.

Penduduk, Daud Baba, 62, berkata, kedai menjual tong dan bekas air di sekitar Melaka, Alor Gajah, Masjid Tanah menjadi tumpuan orang ramai bagi menghadapi krisis air itu.

“Saya juga sudah membeli tong dan bekas air. Saya berharap catuan ini dapat menangani masalah bekalan air sehingga ia pulih kembali,” katanya.

Kontraktor binaan, Shaharudin Mamat, 50, pula berkata, dia berharap krisis air akan berakhir secepat mungkin.

“Keperluan air amat penting, saya berharap masalah (bekalan air) ini tidak berlarutan terlalu lama,” katanya.

Catuan bekalan air berjadual di Melaka dilaksanakan selama 12 hari bermula esok berikutan penyusutan paras air Empangan Durian Tunggal, akan membabitkan seramai 876,328 pengguna.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan menyelaraskan bekalan air melalui lori tangki ke pusat pengagihan setempat dan sejumlah 422 tangki statik serta 44 lori tangki akan digerakkan untuk menghantar bekalan kepada pengguna.

Selain menggerakkan aset dalaman SAMB, pembekalan air kepada penduduk terjejas akan turut dibantu operator air dari seluruh Semenanjung selaras perjanjian yang dimeterai.

Sebagai langkah proaktif untuk menstabilkan paras sungai, SAMB akan melakukan pelepasan dari Empangan Durian Tunggal ke muka sauk, dari Empangan Jus ke Sungai Batang Melaka, pengepaman air mentah dari Tasik Ayer Keroh ke Sungai Padang Keladi dan dari Kolam Kesang Satu ke Sungai Garing.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 2:08pm
d