mutakhir

Kumpul RM366 juta hasil edar dadah [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MAMPU memiliki hartanah, rumah, premis perniagaan, kenderaan mewah dan pelbagai barangan berharga bernilai lebih RM366 juta dengan menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Semua kekayaan itu dimiliki seorang lelaki tempatan dipercayai dalang utama sindiket pengedaran dadah di Malaysia yang kini bersembunyi di negara jiran selepas polis membongkar kegiatannya, pada September tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menjalankan risikan dan mengenal pasti pembabitan beberapa individu sebelum menjalankan Op Eagle Diamond di Butterworth, Pulau Pinang pada 16 Januari lalu.

Beliau berkata, operasi khas itu bertujuan menyita semua harta suspek dan sekutu yang disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah bagi melumpuhkan kegiatan mereka susulan rampasan 12 tan kokain dicampur arang batu bernilai RM2.4 bilion di Butterworth pada 10 September lalu.

“Dalam pelaksanaan sitaan itu, pemeriksaan pertama di sebuah gudang di Seberang Perai menemui dadah disyaki syabu seberat 4.98 kilogram (kg), serbuk dan cecair disyaki bahan kimia (114.6kg) serta peralatan memproses dadah dianggarkan bernilai RM250,000.

“Seramai lapan lelaki termasuk lima warga Myanmar berusia antara 33 hingga 51 tahun ditahan.

“Lanjutan daripada operasi itu, JSJN menyita wang tunai RM6,960, wang dalam akaun (RM21.6 juta), saham (RM143 juta), hartanah (RM198 juta), kenderaan (RM2.7 juta) dan barang kemas (RM51,800) dengan nilai keseluruhan RM366 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan video korporat JSJN di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi menahan dalang utama yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Beliau berkata, pihaknya yakin suspek akan dapat ditahan dan dibawa ke negara ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 3 serta Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya (Pelucutanhak harta) 1988.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 3:02pm
d