mutakhir

Kes Adib: Mahkamah benarkan rayuan Peguam Negara [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam, membenarkan permohonan rayuan Peguam Negara untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner tahun lalu yang membenarkan bapa kepada seorang ahli bomba memulakan prosiding perintah komital terhadap Peguam Negara.

Permohonan perintah komital itu difailkan Mohd Kassim Abdul Hamid kerana mendakwa Peguam Negara menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya, Muhammad Adib.

Hakim, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid ketika membacakan rumusan penghakiman menyatakan terhadap beberapa ketidakpatuhan dalam permohonan komital yang difailkan pihak responden di Mahkamah Koroner.

Beliau berkata, Koroner terkhilaf ketika membuat keputusan itu apabila mengambil kira perkara yang melebihi kenyataan dan afidavit yang menentusahkan fakta.

Menurutnya, responden dalam permohonan rayuan juga gagal menarik perhatian Koroner terhadap kenyataan media oleh perayu bertarikh 28 Mei 2019, secara keseluruhan.

Katanya, Koroner hanya mengambil kira perenggan tertentu dalam kenyataan media itu, terutama peranan peguam Syazlin Mansor yang ketika itu menjadi peguam pemerhati bagi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan keluarga si mati.

“Dalam laporan media itu, pemohon ada menyatakan bahawa walaupun Syazlin bertegas untuk menarik diri, Pejabat Peguam Negara masih boleh memanggil saksi pakar yang membantu koroner, Profesor Dr Shahrom Abdul Wahab, untuk terus memberi keterangan.

“Sehubungan itu, persepsi bahawa pemohon mengambil pendirian terhadap punca kematian si mati tidak berasas.

“Selain itu, ia gagal menarik perhatian Koroner terhadap keseluruhan afidavit yang difailkan Hamdan (bekas pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah) bertarikh 3 April 2019, diikrarkannya berdasarkan kepada bukti yang dikemukakan pada prosiding inkues ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, responden juga gagal menekankan bahawa pemohon mempunyai hak dalam Perlembagaan dan perundangan untuk menasihatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menamatkan perkhidmatan Syazlin sebagai peguam pemerhati untuk kementerian itu dan JBPM serta menggantikannya dengan Peguam Kanan Persekutuan bagi membolehkannya terus mewakili keluarga si mati.

Selain itu, katanya, responden gagal menekankan bahawa Syazlin yang bertegas untuk menarik diri daripada mewakili keluarga si mati, yang kemudiannya beliau terus wakili, dan bukan atas arahan pemohon.

“Koroner mengambil kira laporan media yang tidak disahkan, yang tidak ditimbulkan atau dinyatakan dalam kenyataan dan afidavit yang difailkan.

“Justeru, kenyataan oleh Koroner dalam penghakimannya, yang menyatakan bahawa: ‘Dalam kata lain pelakuan AG (Peguam Negara) yang sedemikian itu telah scandalized prosiding inkues tersebut. Inkues berkenaan boleh sahaja dianggap (perceived) sebagai hanya satu lakonan atau permainan wayang dan satu proses rubber stampingsahaja kepada kedudukan yang telah diambil oleh AG’ adalah tidak berasas,” katanya.

Beliau berkata, beban pembuktian lebih penting daripada imbangan kebarangkalian.

Sehubungan itu, mahkamah menerima rayuan pemohon untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner itu.

Sementara itu, peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla ketika ditemui berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.

Peguam Negara diwakili Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy; Mankiranjit Kaur Mehinder Singh dan peguam Datuk S Ambigamanakala bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid yang memfailkan permohonan perintah komital itu pada 16 Julai lalu, diwakili Haniff dan Aidil Khalid.

Mohd Kassim, 65, memfailkan permohonan perintah komital itu kerana mendakwa Peguam Negara menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 3:38pm
d