mutakhir

Kembar tak rela berpisah

Oleh Mohd Khidir Zakaria

KEMBAR, Mohamed Abd Halim, 16, dan Abdullah berharap dapat ‘disatukan’ di kolej vokasional sama kerana tidak sanggup berpisah.

Terdahulu, permohonan mereka untuk menyambung pengajian di kolej vokasional diterima.

Bagaimanapun, Mohamed diterima mengikuti kursus automatif di Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) manakala Abdullah pula mengikuti kursus kimpalan di Kolej Vokasional Ampangan Seremban (KVAS).

Bapa mereka, Abd Halim Mohamed, 48, berkata, ketika memohon, mereka memilih kursus automotif manakala lokasi pilihan di KVPD.

“Bagaimanapun, berdasarkan surat tawaran, mereka terpaksa berpisah.

“Mohamed memohon kembarnya diterima belajar di KVPD kerana mereka tidak pernah berpisah sejak kecil.

“Mereka juga tidak kisah jika belajar berlainan kursus namun tidak sanggup dipisahkan,” katanya ditemui di Dewan Besar KVPD hari ini.

Abd Halim berharap permohonan pertukaran Abdullah diterima.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Akademik) KVPD Norlia Yub Ghazali berkata, 285 penuntut diterima masuk ke KVPD untuk mengikuti 10 kursus yang ditawarkan.

“Dari ribuan pemohon, hanya 285 diterima masuk ke KVPD .

“Jumlah keseluruhan penuntut yang ada ialah 1,072 termasuk mereka yang sedang mengambil diploma.

“Melihat kepada sambutan permohonan untuk belajar di kolej vokasional, ia menunjukkan pendidikan vokasional bukan pilihan terakhir malah menjadi pilihan utama kerana mereka tahu bidang kemahiran amat penting,” katanya ketika berucap pada majlis taklimat kepada ibu bapa dan pelajar baru.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 4:04pm
d