mutakhir

Muhammad Adam tetap anugerah teristimewa

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

WALAUPUN dilahirkan tanpa telinga kanan dan mengalami masalah pendengaran, namun ia bukan halangan buat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun menjalani kehidupan normal.

Kekurangan itu menjadikan Muhammad Adam Rayyan Rosmadi yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok lebih cekal dan tabah.

Ibu Muhammad Adam, Effariza Ahmad Nundin, 44, berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu mudah memahami pelajaran di sekolah dan tidak kekok bergaul bersama rakan sekelas.

“Saya selalu nasihatkan dia supaya bersungguh-sungguh menimba ilmu. Ketika ini, dia sudah boleh membaca beberapa perkataan dan itu menggembirakan kami sekeluarga.

“Malah, saya turut mengingatkannya supaya bersabar dan anggap dirinya istimewa kerana ditakdirkan mempunyai fizikal ‘unik’ berbanding insan lain.

“Alhamdulillah, dia mendengar nasihat saya dan kini lebih cekal dan reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Selangor hari ini.

Menurut Effariza, Muhammad Adam mengalami kecacatan itu sejak lahir dan hanya memasang alat bantuan pendengaran sewaktu berusia sembilan bulan.

“Masalah lain tiada, cuma masalah pendengaran dan dia terpaksa bergantung pada alat bantuan pendengaran yang dipasang pada telinga kanan.

“Walaupun pada awalnya suara dia tidak jelas, namun dari segi pertuturan dan pendengaran, ia semakin baik saban hari,” katanya yang juga suri rumah.

Dalam pada itu, Effariza berkata, dia sekeluarga memerlukan perbelanjaan lebih RM 20,000

bagi membiayai kos pembedahan memasang implan pada telinga kanan Muhammad Adam dalam tempoh terdekat.

“Waktu ini, dia masih bergantung kepada alat bantuan pendengaran yang dipinjam dari Hospital Sungai Buloh (HSB) bernilai kira-kira RM8,000.

“Sekiranya pembedahan kecil ini berjaya, dia tidak perlu lagi memakai alat bantuan pendengaran menggunakan bateri yang menelan belanja RM50 sebulan,” katanya.

Katanya, Muhammad Adam yang juga pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak.

“Saya hanya suri rumah dan kadang-kadang menolong keluarga berniaga di pasar. Manakala suami, Rosmadi Ginen, 47, pula bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Segala kos saya dan suami tanggung sendiri termasuk kos ulang alik ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 12207020277433 atas nama anak kedua Effariza, Nur Erni Shahila Rosmadi atau menghubungi Effariza di talian 019-3192466 /

017-3860765.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 4:31pm
d