mutakhir

'Terima kasih dengar rintihan kami'

Oleh Hassan Omar

PENDUDUK Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Alor Gajah berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) kerana menyediakan tangki air untuk menghadapi catuan bekalan air berjadual mulai esok.

Kampung ini dikenal pasti sebagai yang paling jauh daripada paip utama bekalan air SAMB di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang menyebabkan ia berdepan masalah tekanan air rendah.

Penyediaan tangki air itu melegakan penduduk kerana mereka boleh merancang penggunaan air dengan lebih baik.

Penduduk, Zainal Sulaiman, 58, berkata, masalah terbabit berlaku sejak bertahun lalu dan sudah beberapa kali ia diajukan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Tanjung Bidara.

“Catuan bekalan air ini seolah-olah sudah menjadi rutin hidup kami.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana rintihan kami selama ini didengar pihak berkaitan,” katanya ditemui di pusat agihan setempat disediakan SAMB hari ini.

Pusat berkenaan berfungsi membekalkan lebih 2,700 liter air buat penduduk sepanjang tempoh catuan air mulai esok hingga 9 Februari ini.

Sementara itu, Setiausaha JAPERUN Jefri Sharif berkata, setiap kali air dalam tangki habis, lori tangki SAMB akan menyalurkan air tambahan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air mencupuki.

“Selain Kampung Balik Batu, tangki berkenaan turut disediakan di Kampung Pasir Gembor dan Paya Mengkuang, dalam DUN Tanjung Bidara,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 4:34pm
d